Dibunuh selepas pulang

Sekurang-kurangnya 20 pelarian Syria dilapor dibunuh tentera regim Bashar al Assad dan konco-konconya selepas pulang ke negara asal.
Dakwaan itu dibuat Menteri Negara Mengenai Hal Ehwal Pelarian Lubnan, Mouin Merehbi kepada The National.
 
Beliau yang selama ini mengkritik kerajaan Syria dan sekutunya, Hezbollah, tidak menolak kemungkinan angka pembunuhan lebih tinggi dari apa yang didakwa.
 
“Sebagai seorang menteri Lubnan, kami tidak mempunyai keupayaan logistik untuk mengakui kesahihan dan mengesah kebanyakan laporan,” katanya.
Jelas Mouin lagi, pada masa sekarang, pihaknya tidak mempunyai hubungan dengan pihak berkuasa Syria atau sebarang sumber dalam negara itu.
 
Katanya, kes terbaru dikatakan berlaku pada Ahad lalu di mana tiga sekeluarga termasuk dua remaja lelaki dibunuh di pinggir Homs.
 
“ Mangsa telah pulang dari Lubnan dalam lapan bulan lepas dan dia (Mouin) berkata kelihatan seperti pegawai tinggi tentera Syria terbabit di sebalik pembunuhan ini,” lapor akhbar itu.
 
Menurut Mouin, kementeriannya tidak mempunyai bukti untuk mengaitkan sasaran pembunuhan atau dilakukan secara sistematik kepada mana-mana pelarian yang pulang tetapi mengakui keadaan tidak tenteram meskipun di kawasan yang dianggap selamat dan dikuasai kerajaan.
 
“Sekiranya regim Syria benar-benar mahukan rakyat Syria pulang, mereka perlu hentikan pembunuhan bila mereka pulang ke kampung halaman,” katanya.
Sebelum ini, proses pulang pelarian Syria di Lubnan tidak diselia oleh agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), meskipun Suruhanjaya Tinggi bagi Pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHCR) membantu kes-kes mereka yang ingin berbuat demikian secara sukarela dengan menyediakan dokumen.
 
Jumaat lepas, Keselamatan Awam Lubnan berkata, lebih 80,000 pelarian telahpun pulang dari negara itu sejak Julai 2018. Angka berkenaan termasuk 7,670 yang berbuat demikian melalui bantuannya manakala selebihnya pulang dengan cara sendiri.
 
Peningkatan mereka yang pulang turut memberi kesan kepada rekod bagi semakan jumlah sebenar pelarian Syria di Lubnan.
 
Pada 30 September, 952,562 orang pelarian direkodkan berada di negara itu, penurunan seramai 23,440 orang berbanding dengan bancian yang dibuat pada 31 Julai.
Berdasarkan perbezaan jumlah itu, Mouin menyelar angka yang dikeluarkan Keselamatan Awam Lubnan yang didakwanya telah ditokok tambah bagi mendorong pelarian untuk pulang.
 
Paling ramaipun, katanya 55,000 orang bukan 80,000 orang seperti yang didakwa.
 
Pada 30 Oktober lalu, portal milik penentang kerajaan, Zaman al Wasel melaporkan pembunuhan yang dilakukan ke atas pelarian Syria yang pulang ke negara asal dan ia dikatakan didalangi kumpulan bersenjata pro Bashar.
 
Tanpa memberikan sebarang perincian, ia mendakwa perbuatan itu telah didorong oleh perbezaan mazhab.
Foto AFP.
 
Razali Awang
Media Syria Care

Leave a Reply