Cari alasan serang DMZ

Pelaksanaan zon bebas tentera (DMZ) dengan jarak 15 hingga 20 kilometer yang dipersetujui antara kumpulan penentang regim Bashar al Assad yang disokong Turki dengan tentera negara itu di Idlib, 17 September lalu, dicabuli.
 
Dalam kejadian pada malam Rabu dan awal pagi Khamis, seorang kanak-kanak dilaporkan maut, di Kafr Hama yang termasuk dalam lingkungan zon penampan DMZ.
Menurut Middle East Eye, sejak dilaksana bulan lalu, pertempuran berterusan berlaku tetapi dalam skala kecil.
 
Bagaimanapun dalam insiden kelmarin, serangan roket dan meriam telah dilancarkan secara bertubi-tubi ke atas kawasan berkenaan.
“Ia pengeboman paling sengit sejak 17 September.
 
“Tentera kerajaan melancarkan serangan roket dan artileri yang membunuh seorang kanak-kanak perempuan di Kafr Hamra,” kata Ketua Syrian Observatory for Human Rights (SOHR), Rami Abdurrahman.
 
Dalam reaksinya, National Liberation Front (NLF) yang disokong Ankara berkata, tentera kerajaan bertanggungjawab mencabuli rundingan gencatan dengan melancarkan serangan dengan menggunakan senjata ringan dan sedarhana.
 
Sementara itu, agensi berita AFP melaporkan serangan balas oleh kumpulan penentang telah menyebabkan tiga orang awam yang berada dalam kawasan yang dikuasai tentera regim dan sekutunya, terbunuh.
 
Di bawah persetujuan yang dicapai antara Rusia dan Turki, kumpulan penentang yang berada di situ perlu memindahkan senjata berat dari kawasan zon penampan pada 10 Oktober.
 
Ia juga memberikan tempoh masa pada 15 Oktober lepas kepada Hayat Tahrir al-Sham (HTS) yang menguasai sebahagian Idlib supaya keluar dari situ.
Bagaimanapun, selepas 10 hari tarikh berkenaan berakhir, tiada sebarang petanda yang menunjukkan ia berbuat demikian.
 
Dalam laporannya, akhbar pro Bashar Al-Watan berkata, tentera kerajaan dan Rusia boleh mengambil tindakan ketenteraan kerana kegagalan HTS mematuhinya./Foto AFP.
 
Razali Awang
Media Syria Care

Leave a Reply