Bantuan ke kem Rukban minggu depan

Konvoi bantuan kemanusiaan dijangka akan memasuki kem Rukban di selatan Syria paling awal pada minggu depan.
 
Ia akan digerakkan bersama antara agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dengan Syrian Arab Red Cresent (SARC).
 
“Secara keseluruhan keadaan di kem Rukban berada dalam keadaan kritikal.
 
“PBB bersama SARC akan akan ke kem bagi menyediakan bantuan kemanusiaan dalam tempoh beberapa hari,” kata Penyelaras Kemanusiaan PBB bagi Syria, Ali al Za’tari dalam kenyataan pada Rabu.
 
Kali terakhir bantuan kemanusiaan dibawa masuk ke kem yang berada di kawasan sempadan yang turut bersempadan dengan Jordan dan Iraq itu, pada Januari lepas.
Keadaan menjadi semakin meruncing sejak awal bulan ini, apabila tentera regim Bashar al Assad dan sekutunya menyekat sepenuhnya sebarang penghantaran misi kemanusiaan dan sukarelawan ke kem berkenaan.
 
Berikutan situasi yang semakin genting dan ditambah dengan ketibaan musim sejuk, PBB minggu lalu meminta semua pihak di Syria supaya membenarkan penghantaran barangan asas kesihatan ke Rukban.
 
Dalam banciannya pada 2017, PBB menganggarkan terdapat lebih 45,000 pelarian berlindung di situ. Manakala pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Doctors Without Borders mendakwa angkanya berkali ganda dan hampir 65,000 orang.
 
Selain dari dalam Syria, kem Rukban juga boleh dimasuki melalui Jordan, namun penghantaran sebarang bantuan tidak dapat dibuat kerana Amman mengambil dasar tegas enggan membuka pintu sempadan kepada mana-mana pihak termasuk NGO.
 
Razali Awang
Media Syria Care

Leave a Reply