Jenayah Perang di Syria: PBB tiada maruah

Mekanisma Bebas dan Tidak Berpihak Antarabangsa (IIIM) yang diwujudkan bagi menyiasat jenayah serius di Syria oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 2017 mengakui berdepan dengan masalah.

Ketua IIIM, Catherine Marchi-Uhel berkata, badan itu mensasarkan untuk membuka dua kes kertas siasatan pada hujung tahun ini dan bagi tujuan berkenaan, hakim PBB akan bertanggungjawab untuk menyediakan kertas pertuduhan.

Pada masa sekarang, beliau yang juga hakim veteran Perancis yang berpengalaman, memaklumkan pihaknya sedang mendapat kerjasama dengan tujuh bidang kuasa kehakiman yang berbeza.

Namun, apa yang diusahakan bukan mudah kerana ia berdepan dengan masalah utama, iaitu ketiadaan dana untuk melaksana tugasan berkenaan.

Katanya, meskipun pasukan penyiasat PBB telah menemui bukti jenayah besar yang dilakukan kerajaan (regim Bashar al Assad) dan kumpulan anti kerajaan sepanjang tujuh tahun konflik. Tetapi kesemua inkuiri itu tidak memberi kesan perundangan kepada mereka yang berkenaan.

Sebelum ini, akibat kecewa dengan halangan yang dibuat Rusia berhubung siasatan yang dilakukan di Syria telah menjadi punca ketua penyiasat salah satu pasukan PBB, Carla Del Ponte meletak jawatan.

Beliau antara tiga penyiasat yang dilantik badan dunia berkenaan untuk menyiasat jenayah perang yang berlaku ke atas orang awam Syria.

Dalam surat peletakan jawatannya, Del Ponte meluahkan kekecewaan, kerana di Rwanda dan Yugoslavia, apa yang diusahakan dapat membantu para penyiasat mengumpul bukti dan menfailkan pertuduhan jenayah, menahan serta membawa mereka yang berkenaan ke muka pengadilan dan menerima hukuman, tetapi keadaan itu tidak berlaku di Syria.

“Tetapi kes di Syria tiada apa berlaku. Ia tidak boleh diterima. Ia menjatuhkan maruah masyarakat antarabangsa khususnya Majlis Keselamatan,” katanya seperti yang dilapor Middle East Eye.

Razali Awang
Media Syria Care

Leave a Reply