Rayu Jordan buka sempadan

Penasihat Kanan Utusan Khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ke Syria, Jan Egeland, merayu Amman supaya membuka sempadan bagi membolehkan orang awam Syria yang melarikan diri dari serangan tentera regim Bashar al Assad dan sekutunya mencari perlindungan.
 
Permintaan itu dibuat selepas lebih 50,000 pelarian terperangkap di segenting Golan yang turut bersempadan dengan Israel, diberi kebenaran untuk memasuki Jordan.
“Remuk hati kerana ia zon di mana orang awam rasa selamat sehinggalah 10 hari lalu,” kata Egeland.
 
Jelasnya lagi, serangan udara dan darat tanpa henti juga menyebabkan konvoi badan dunia itu gagal memasuki Daraa.
 
Dalam perkembangan yang sama, sekurang-kurangnya 46 dilaporkan maut pada Khamis dalam serangan udara besar-besaran ke atas kawasan itu.
Menurut Syrian Observatory for Human Rights (SOHR), Al Mseifra mencatatkan angka korban paling ramai selepas 17 orang termasuk lima kanak-kanak terbunuh apabila bom yang digugurkan mengenai tempat berlindung bawah tanah.
 
Mengulas serangan yang sama, Horan Free Media, menjangkakan angka korban sebenar lebih ramai kerana dipercayai masih terdapat mangsa yang tertimbus di bawah runtuhan bangunan.
Serangan itu mencatatkan korban serentak tertinggi sejak operasi besar-besaran dilakukan tentera regim dan sekutunya bermula 19 Jun lalu.
 
Sepanjang tempoh sembilan hari, lebih 85 nyawa penduduk Daraa menjadi mangsa kezaliman Bashar al Assad.
 
Razali Awang
Media Syria Care

Leave a Reply