Travelog MKSC 6.0 : ANTARA KEPAHITAN DAN KEMANISAN

ANTARA KEPAHITAN DAN KEMANISAN

Demi mencari sesuap nasi untuk berbuka puasa pun terpaksa berebut-rebut itulah realiti kepahitan hidup yang dilalui oleh anak-anak Syria. 

Di himpit dengan ujian kehidupan seawal usia yang masih muda. Bebanan inilah yang mereka pikul sehingga tidak mampu dinilai oleh mata kasar berat yang mereka tanggung. Pahit-pahit inilah yang menjadikan mereka tabah untuk meneruskan kehidupan. Pahit-pahit ini jugalah yang mengajar mereka untuk menjadi kuat dan sedaya mungkin mengukir senyuman ikhlas ketika melalui hari-hari yang datang.

Sewaktu sedang menjalankan aktiviti mengedarkan makanan berbuka puasa kepada pelarian Syria di perkarangan sebuah masjid di Kilis Turki, saya telah di sapa mesra oleh seorang kanak-kanak lelaki yang bernama Ahmad. Memberikan senyuman yang ikhlas sebagai tanda sedekah atas sebuah pertemuan. 

Melihat kepada fizikalnya Ahmad bukanlah insan yang sempurna. Dia telah kehilangan sebelah kaki kanannya dan langkahnya berpaut kukuh dengan tongkat di tangan untuk bergerak. Jelas ujian itu tidak menjadikan dirinya seorang yang malu dan tidak mahu bergaul dengan masyarakat. 

Keberaniaannya berkomunikasi dengan bangsa lain sekalipun tidak boleh berbahasa Inggeris menjadikan diri saya tersentap seketika. Tersentap dengan keberanianya kerana mampu membina personaliti diri yang tidak kekok dalam pergaulan walaupun terhalang dengan perbezaan bahasa.

Inilah kemanisan bagi mereka yang ditarbiah terus daripada Allah melalui ujian kehidupan. Mereka mampu membina jati diri dan personaliti yang tersendiri tanpa perlu menghadiri mana-mana kelas softskill.

Perbezaan berbahasa menjadikan suasana komunikasi seperti ayam yang itik, yang penuh kemesraan dan seakan-akan faham antara satu sama lain. Inilah nilai persaudaraan yang seringkali ditekan oleh Baginda Rasulullah s.a.w. Jadilah seperti Ahmad, tidak segan menyapa saudara seagama biarpun berbeza bangsa dan bahasa, kerana kita semua telah diikat dengan persaudaraan atas satu aqidah.

Di atas satu aqidah kita diajar berkasih-sayang dan maniskanlah persaudaraan dengan kemesraan dalam pergaulan. Ketepikan sikap prejudis dan berdengki kerana itu hanya meroskan perhubungan. Hablu mina Allah wa hablu minannas. Kemanisan bertemu dengan Ahmad dan rakan-rakannya akan terus dikenangan sebagai kenangan yang manis. Mereka ini saudara kita. Ayuh bersama mereka kita bantu meringankan beban mereka.

Asyraf Rahman
16/05/2018
Killis, Turki.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *