BAWA PENDERITAAN RAKYAT SYRIA KE PARLIMEN MALAYSIA

Syria Care dan MyCare mengetengahkan penderitaan rakyat Syria dengan membawa isu berkenaan kepada Ahli Dewan Rakyat.

Suara itu disampaikan kepada Ahli Parlimen Kepala Batas yang juga Timbalan Menteri Luar, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.

Satu salinan memorandum membantah pembunuhan ke atas penduduk Timur Ghoutah telah diserahkan kepada beliau untuk tindakan lanjut.

Pada pertemuan yang sama, Syria Care yang diwakili Pengerusinya Siti Sakinah Meor Omar Baki dan Pengurus Besar MyCare, Roha Hassan, hasrat yang sama telah diluahkan kepada wakil pembangkang, Nurul Izzah Anwar dan Dr Siti Mariah Mahmud.

Dalam perbincangan lebih setengah jam itu, pelbagai perkara telah disentuh khususnya dalam usaha melestari bantuan kemanusiaan kepada mangsa konflik di Syria.

Berikut kenyataan akhbar berhubung pertemuan berkenaan.
Kenyataan Media Penyerahan Memorandum #stopkillingsyrians kepada Ahli Parlimen Malaysia.

Penyerahan memorandum ini dibuat berikutan pembunuhan berterusan ke atas orang awam di Syria khususnya di Timur Ghoutah.

Sehingga kini, perang saudara di Syria tidak menampakkan sebarang petanda akan berakhir selepas konflik bermula pada 15 Mac 2011.

Syria Care dan My Care selaku Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) yang mewakili rakyat Malaysia khuatir lebih ramai nyawa mereka yang tidak berdosa akan menjadi mangsa sekiranya masyarakat antarabangsa terus “berpeluk tubuh” berhubung isu ini.

Sejak lebih tujuh tahun lalu, lebih setengah juta orang awam yang terperangkap dengan kancah perang saudara, telah terbunuh atau dibunuh dan ia disifatkan bencana kemanusiaan paling buruk selepas Perang Dunia Kedua.

Atas semangat kemanusiaan sejagat, kami meminta supaya tindakan diambil oleh Ahli Parlimen Malaysia untuk memainkan peranan bersama bagi menghentikan pembunuhan yang sedang berlaku di sana:

1. Mengadakan Sesi Khas Sidang Parlimen bagi membincangkan pembunuhan ke atas orang awam di Syria.

2. Meluluskan usul mengutuk pembunuhan yang berlaku ke atas penduduk yang tidak berdosa.

3. Meminta Kuala Lumpur menjelaskan pendirian serta status diplomatik negara ini dengan kerajaan regim Bashar al Assad.

4. Mendesak Kerajaan Malaysia memainkan peranan lebih pro aktif bagi menghentikan konflik dengan menggunakan semua saluran diplomasi, termasuk mendesak Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) mengadakan sidang tergempar.

5. Membawa cadangan kepada Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk mengheret mereka yang bertanggungjawab melakukan pembunuhan ke atas orang awam ke Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC).

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *