TERHAD KEPADA 29 PESAKIT

Sekurang-kurangnya 12 pesakit lagi telah berjaya dibawa keluar dari Timur Ghoutah untuk mendapat rawatan lanjut di Damsyik.
 
Menurut Jawatankuasa Palang Merah Antarabangsa (ICRC), majoriti yang menerima rawatan terdiri daripada kanak-kanak.
 
Kerja-kerja membawa saki baki daripada 29 pesakit yang disenarai dijangka akan diteruskan hari ini melalui kerjasama Bulan Sabit Merah Syria.
 
Ia disahkan Syrian American Medical Society (SAMS), antara pertubuhan sukarelawan yang memainkan peranan utama merealisasi usaha membawa mereka yang sakit dan cedera dari kawasan terkepung.
 
Sementara itu, The Syrian Observatory for Human Rights (SOHR), melaporkan 17 pesakit telah dibawa keluar sejak usaha memindahkan mereka yang cedera bermula pada awal pagi Rabu.
 
Melalui persetujuan yang dicapai melalui rundingan yang panjang, ia sebahagian daripada program pertukaran tentera regim Bashar al Assad yang ditahan dengan kumpulan penentang.
 
Bagaimanapun, jumlah itu amat kecil jika dibandingkan dengan keperluan sebenar di kawasan Timur Ghoutah yang telah dikepung sejak 2013.
 
“Terdapat 107 doktor yang kekal di kawasan itu bagi memberi perkhidmatan kepada 400,000, termasuk 130,000 kanak-kanak yang pada masa sekarang berdepan dengan kekurangan bekalan ubat-ubatan,” kata Presiden SAMS, Ahmad Tarakji dalam kenyataan yang dipetik Al Jazeera.
 
Pada masa sekarang dianggarkan separuh daripada populasi penduduk di kawasan berkenaan terdiri daripada kanak-kanak dan hampir semua mereka berdepan dengan kekurangan zat makanan.
 
Kawasan yang terletak hanya 16 kilometer dari Damsyik itu digempur dan dikepung tanpa henti tentera regim dan sekutunya Rusia kerana menjadi salah satu kubu kuat kumpulan penentang, Jaish al Islam.
 
 

Leave a Reply