PBB KUTUK TUKAR PESAKIT DENGAN TAHANAN

Misi Bulan Sabit Merah Syria (SRC) bersama Palang Merah Antarabangsa (ICRC),membawa keluar 29 pesakit dari Timur Ghoutah untuk mendapat rawatan lanjut di Damsyik, selesai selepas tiga hari ia dibuat.
 
Mereka terdiri daripada 18 kanak-kanak, enam wanita dan lima lelaki.
 
ICRC dalam kenyataannya berkata, ia berharap usaha membawa keluar mereka yang sakit teruk di kawasan berkenaan akan disambung semula.
 
Usaha-usaha pemindahan yang bermula pada awal pagi Rabu itu dibuat selepas regim Presiden Bashar al Assad mengadakan rundingan dengan kumpulan Jaish al Islam yang menguasai Timur Ghoutah.
 
Sebagai syarat, 29 pesakit diberi kebenaran untuk mendapat rawatan di Damsyik sebagai pertukaran dengan 29 tentera kerajaan dan orang awam yang ditahan kumpulan itu.
 
Meskipun membuahkan hasil, tindakan itu menimbulkan kebimbangan agensi bantuan antarabangsa mengenai syarat yang telah dipersetujui.
 
“Ia perjanjian yang tidak elok sekiranya menukar kanak-kanak yang sakit dengan tahanan,” kata Ketua Kumpulan Petugas Kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk Syria, Jan Egeland kepada BBC.
 
Sementara itu Penyelaras Operasi ICRC berkata, pihaknya menekankan bahawa operasi kemanusiaan tidak sepatutnya dijadikan barangan pertukaran.
 
Menurut laporan yang dipetik dari Reuters, Jurucakap Jaish al-Islam, Yasser Delwan, berkata SARC telah menjadi orang tengah dalam rundingan itu.
 
Bulan lalu, PBB meminta kuasa besar dunia supaya mengatur usaha untuk membawa keluar 500 pesakit termasuk 167 kanak-kanak dari kawasan Timur Ghoutah yang sedang dikepung tentera kerajaan.
 
 
 

Leave a Reply