Travelog MKSC 5.0 : Mangsa penjara Bashaar Al-Assad.

Mangsa penjara Bashaar Al-Assad.

Muhammad merupakan seorang pelarian Syria yang kini menetap di Urfa,sebuah bandar di sempadan Turki Syria. Beliau yang telah lebih dua tahun menetap di sini telah berkongsi kisah hidupnya di dalam penjara Bashaar dalam satu temuramah yang diadakan bersama Ustazah Sakinah Meor Omar sewaktu menjalankan Misi Kemanusiaan Syria Care 5.0 baru-baru ini.

beliau ditemui rombongan Syria Care di sebuah rumah yang disewa bagi mengumpulkan pelarian-pelarian di kawasan ini untuk kelas-kelas pengajian dan aktiviti-aktiviti kekeluargaan.
Muhammad bercerita;

“Muhammad : Saya adalah rakyat Syria. Nama saya Mohamad. Saya belajar di Universiti Aleppo di dalam Fakulti Kejuruteraan Mekanikal. Selepas sahaja saya selesai belajar dari universiti tersebut, saya telah ditangkap oleh intellijen tentera dan dipenjarakan di penjara tentera Tadmur. Kemudian mereka melaksanakan penghakiman palsu dengan tuduhan palsu juga, saya dijatuhkan hukuman mati pada mulanya tetapi kemudian ia diringankan kepada penjara seumur hidup atas tuduhan bersama gerakan Islam. Kemudian saya meringkuk di dalam penjara selama 10 tahun. Semasa di penjara, disebabkan oleh tekanan hidup di situ, saya mendapat penyakit jantung. Mereka kemudian memindahkan saya ke sebuah hospital tentera di Damsyik. 

Soalan : Bagaimanakah keadaan kehidupan di dalam penjara.

Muhammad : Tentang kehidupan di dalam penjara. Saya akan ceritakan berdasarkan waktu. Waktu bangun tidur adalah pada pukul 6.00 pagi. Sarapan akan dihantar pada pukul 8.00 pagi. Kami akan diberi sebiji telur untuk tujuh orang makan. Buah zaitun pula hanya 50 biji sahaja untuk 60 orang. 

Soalan : Maksudnya ada 70 orang di dalam sebuah sel dan mereka memberi sebiji telur untuk setiap tujuh orang?

Muhammad : Ya. setiap kumpulan ada 6-7 orang untuk sebiji telur. Buah zaitun pula hanya 50 biji sahaja untuk 60 orang. Roti pula hanyalah separuh bahagian sahaja atau lebih sikit. Maksudnya, pada kebiasaan kita memakan sebiji roti tetapi hanya diberi separuh atau lebih sedikit untuk setiap seorang. Makanan di sana hanyalah roti dan air sahaja. Tiada ayam atau daging sama sekali. Hanya jarang-jarang kami dapat, itupun selalunya jika ada sesuatu perayaan dan ianya sangat sedikit. Jadi, makanan utama kami adalah roti. Kadang kala mereka mencatu minuman air kami sehingga sebulan atau dua. Bagi setiap seorang hanya 500ml air untuk 24 jam. Kadang-kadang aku tanya diri aku sendiri, bilakah aku akan dapat minum dengan puas. Bilakah aku akan dapat kenyang dengan roti. 

Selesai sahaja sarapan, rutin pagi akan bermula, Rutin tersebut adalah jenayah. Mereka akan memilih secara rawak penghuni penjara dan memulakan penyiksaan dengan pelbagai alat seperti kabel elektrik, paip besi bersaiz 2 inci dan juga rantai motorsikal. Mereka akan membawa keluar 4 – 5 orang dari setiap seksyen dan akan memulakan penyiksaan sehingga mereka mati. 

Pernah sekali aku ingat, ada seorang yang sedang disiksa bercakap dengan pegawai penjara meminta supaya ianya dihentikan. Pegawai itu berkata bahawa dia tahu yang mana orang itu tidak melakukan apa-apa tetapi penyiksaan dan pembunuhan ini adalah sebahagian dari program penjara yang mesti dilaksanakan. 

Begitulah keadaan hidup di dalam penjara. Rutin pagi ini akan berterusan sehingga jam 11.00 pagi. Jam 12.00 tengahari pula mereka akan mula membanci nama setiap seorang di dalam sel untuk mengetahui siapa di antara mereka yang telah mati akibat siksaan. Rutin petang akan bermula selepas asar. Alhamdulillah, rutin sebelah petang jarang dilakukan khususnya apbila musim sejuk.

Makanan tak cukup. Minuman tak cukup. Sayuran dan buah-buahan tidak ada. Kalau ada pun terlalu sedikit. Kadang tu 2 bulan baru ada sayur. Ada sekali mereka beri kami sayur iaitu bawang. 

Saya dipenjara selama 10 tahun. Selepas 10 tahun mereka membebaskan saya. Saya mengidap penyakit otot dan sakit jantung akibat dari tekanan di dalam penjara. Saya masuk penjara pada tahun 1991 dan keluar pada tahun 1999. Umur saya pada ketika itu 33 tahun. Saya sepatutnya menjalani pembedahan akibat dari penyakit tersebut di dalam hospital tentera tetapi mereka tidak melakukannya kerana kosnya tinggi. Hanya memberi perubatan sahaja. 

Alhamdulillah arwah bapa saya mempunyai sebuah rumah, dia telah menjual rumah tersebut bagi pembedahan saya. Selepas itu barulah saya mula bekerja. Mereka (kerajaan) tidak membenarkan saya memegang jawatan sebagai jurutera. Sebelum ini saya adalah seorang pegawai. Tetapi selepas 2 tahun baru mereka membenarkannya. Saya membuka sebuah pejabat sendiri setelah bekerja keras. Pendapatan saya baik alhamdulillah.

Setelah 6 tahun keluar dari penjara, saya terpaksa menggunakan “pacer” untuk jantung saya. Saya terpaksa melakukannya di luar Syria iaitu di Turki. 

Soalan : Bila tu Adakah selepas bermula revolusi?

Muhammad : Ya. Lebih kurang 2 tahun selepas bermula revolusi. Semasa pendudukan Daesh. Kemudian saya keluar berpindah ke Turki. Sekarang pula saya mengidap penyakit buah pinggang. Sekarang saya mendapat rawatan di hospital Universiti Gaziantep bagi melakukan pembedahan. Barangkali dalam minggu ini atau minggu depan. Menurut Professor di situ, mereka akan membedah buah pinggang saya. 

Kita kembali kepada kisah di penjara. Mereka melakukan penapisan puluhan ribu rakyat. Bilangan penghuni penjara Tadmur dan Mazja sahaja sudah melebihi 25,000 orang. Mereka adalah pemuda terdiri dari pelbagai profession. Ada doktor, jurutera, pensyarah universiti dan lain-lain. 

Soalan : Adakah awak tahu berapa jumlah tepat mereka yang dipenjarakan?

Muhammad : Tidak. tetapi saya kira jumlah kedua penjara Tadmur dan Mazja sahaja barangkali melebihi 25,000 orang. Mereka melakukan proses pemilihan secara rambang dua kali seminggu. Setiap minggu 400 hingga 500 banduan akan dipilih dan dihakimi di dalam mahkamah palsu mereka. (kangaroo court). Mereka yang dipilih ini akan dijatuhi hukuman gantung. Hakim yang mereka gunakan adalah mereka yang memegang jawatan sebagai Imam dan khatib. Mereka akan datang ke mahkamah palsu ini dan menghakimi lebih kurang 200 banduan. Sebelum jam 10.00 pagi kesemua mereka sudah siap dihakimi. Kemudian hakim-hakim ini akan diterbangkan ke Syam dan akan datang semula minggu berikutnya untuk program yang sama. 

Mereka yang telah dijatuhi hukuman hanya mempunyai masa 40 hari untuk hidup sebelum hukuman dijalankan. Tapi semenjak akhir saya di sana, hukuman gantung ini semakin berkurangan sekali. Malangnya, ini adalah satu ujian berat untuk rakyat Syria. Rakyat Syria dipinggirkan dan tiada sesiapa peduli. Tiada masyarakat di dunia ini seperti masyarakat Syria yang dizalimi oleh Parti Ba’ath. Kita dizalimi, dibiarkan kelaparan dan kehausan serta ditangkap dan dipenjarakan di penjara besar seperti di Tadmur itu. 

Sesiapa sahaja yang menyatakan sesuatu akan terus ditangkap pihak berkuasa dan dipenjarakan di suatu tempat yang tidak diketahui. 

Kini kita boleh dedahkan dengan menggunakan youtube dan sebagainya apa yang berlaku. Hak kemanusiaan mereka yang ditangkap dicabuli mereka. Anak-anak perempuan dirogol. Mereka disiksa secara fizikal dan emosi. Itulah nasib malang rakyat Syria. 

Semoga Allah Azza wa Jalla memberi jalan keluar untuk rakyat Syria. 

Semoga Allah membalas kebaikan kamu semua.

Soalan : Barangkali anda mahu nyatakan sesuatu kepada rakyat Malaysia?

Muhammad : Rakyat Malaysia adalah masyarakat muslim dan kami berbangga dengan rakyat Malaysia dan juga kerajaan Malaysia. Kami berbangga dengan Tun Dr.Mahathir, beliau adalah sebaik-baik manusia dan Allah ta’ala berikan dia kepada kita dalam kurun ini untuk menjadi reformis kepada dunia Islam dan pergerakannya di dunia. 

Kami ingin agar rakyat Malaysia melihat kepada nasib rakyat Syria yang dizalimi dan hakikat sebenar pemerintah rakyat Syria. Aku teringat perkataan Muhammad Zar di Damsyik sekitar tahun 60an. Katanya ” Aku ingin melihat Malaysia menjadi seperti Damsyik satu hari nanti selepas 10 atau 15 tahun.” Namun hakikatnya sekarang ini selepas 50 tahun, kita hanya melihat kemusnahan yang dahsyat di seluruh bumi Syria. Lihat sahaja di Raqqa yang telah hancur keseluruhannya”.

#BantuankemanusiaanSyriaCare
#TajaanAnakYatimSyria
#SumbanganUmum
#SyriaCareforhumanity
#RM20forhumanity
#SyriaCare
#MisiKemanusiaanSyriaCare5

Leave a Reply