Travelog MKSC 5.0 : Muhammad yang masih trauma

Terselamat dari serangan ke atas sebuah bas namun kini kudung sebelah kakinya.

Dia dalam perjalanan ke hospital menaiki bas bersama ibunya satu hari pada dua tahun yang lalu ketika mana bas yang mereka naiki diserang roket dari kapalterbang tentera rejim. Dalam kekalutan selepas letupan bom itu Muhammad tersedar dan melihat di sekelilingnya mayat bergelimpangan. Darah di sana sini. Api marak naik ke udara. Dalam suasana bingit itu adik Muhammad seperti terdengar suara ibunya. Dia cuba bergerak kearah suara itu. Tetapi dia tidak boleh bergerak. Dicuba lagi. Perlahan-lahan dia mengheret badannya. Baru dia tersedar kakinya dari bawah lututnya sudah tidak ada lagi.

Adik Muhammad kini tinggal di bandar Sanliurfa bersama ibu dan pakciknya. Sewaktu menceritakan kepada kami detik-detik sewaktu kejadian itu adik Muhammad berkata “Aku menyesal mendengar suara ibuku. Mengapa aku menurut katanya?Kalau aku tidak mendengar suaranya dan tak menurut katanya untuk keluar dari sisa bas itu aku sudah mati dan tiada perlu lagi melalui penderitaan seperti sekarang! Aku malu untuk ke sekolah! Aku tak dapat keluar bermain seperti kawan-kawanku yang lain” kata anak yang berusia 14 tahun ini yang sejurus itu menangis terasak-esak. Saya dan En.Razali Awang terus mendekatinya. Lalu En.Razali memeluknya sehinggalah tangisannya reda.
Kami yang berada dalam bilik itu juga menangis melhat kesedihan Muhammad.

Lalu Encik Husamudddin Asaraqbiy wakil Syria Care mendekatinya dan menasihatinya. Saya juga memberinya nasihat. Namun kita hanya memberinya kata-kata perangsang. Selebihnya atas dirinya untuk bangkit dari segala perasaan negatif yang menyelubunginya.

Kita tidak berada di tempatnya makan jangan ada sesiapa yang menghukumnya. Tapi sama-samalah kita doakan adik Muhammad diberi kekuatan untuk meneruskan kehidupan walaupun sekarang ini hidupnya penuh kesulitan. Ketentuan Allah itu pasti ada hikmahnya.

Catatan perjalanan oleh:
Ustazah Sakinah Omar
Pengerusi Syria Care
27 Oktober 2017
Misi Kemanusiaan Syria Care 5.0
Sanliurfa,Turki

Leave a Reply